
Coronavirus (CoV) adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan. Terdapat beberapa jenis coronavirus seperti severe acute respiratory syndrome coronavirus (SARS) dan Middle East Respiratory syndrome-related coronavirus (MER-CoV). Coronavirus terbaru yang ditemui di China adalah Novel Coronavirus 2019 (2019-nCoV).
Jangkitan Coronavirus boleh menyebabkan spektrum gejala daripada selesema biasa kepada radang paru-paru (pneumonia) yang teruk.
Novel Coronavirus atau 2019-nCoV adalah virus corona yang baru. Cara penularan Novel Coronavirus (nCOV) masih belum dikenalpasti. Walau bagaimanapun jangkitan daripada manusia kepada manusia yang lain telah disahkan berlaku.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan kebersihan diri yang baik.
Pemakaian penutup mulut dan hidung surgical atau 3-ply face mask adalah disyorkan kerana ia membantu mengurangkan penyebaran virus dan lebih praktikal untuk digunakan oleh orang awam. Ia bagi menghalang pendedahan orang lain kepada titisan dan percikan air liur orang yang memakai penutup mulut dan hidung ini.
Namun penutup mulut dan hidung N95 tidak disyorkan kerana ia lebih ketat dan boleh menyebabkan pemakainya berasa sukar untuk bernafas. Ianya lebih sesuai digunapakai oleh anggota kesihatan yang mengendalikan pesakit di fasiliti kesihatan.
Sehingga kini, tiada rawatan khusus atau ubat antivirus untuk jangkitan 2019-nCoV. Rawatan diberikan hanya untuk mengurangkan gejala yang dialami pesakit.