Puasa 6: perlu dilakukan secara berturutan?

Antara amalan sunat yang boleh dilakukan apabila tibanya Syawal adalah dengan melakukan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Ianya thabit dari perbuatan Nabi SAW yang mana di dalam hadith ada menyebutkan mengenai kelebihan berpuasa 6 hari di bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.

Riwayat Muslim (1164)

Mengenai persoalan di atas, al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ ada menyebutkan: “…dan disunatkan untuk berpuasa secara berturutan di awal Syawal. Sekiranya dipisahkan (tidak berpuasa 6 hari secara berturutan) ataupun diakhirkan puasa tersebut di dalam bulan Syawal, maka ianya dibolehkan…”[2]

Al-Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni menyebutkan mengenai permasalahan ini seperti berikut: “…tidak ada bezanya (menjadikan puasa tersebut) dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan samaada di awal Syawal ataupun diakhirnya kerana hadith menyebutkannya secara mutlaq tanpa dikaitkan dengan sesuatu yang lain…”[3]

Kesimpulan

Berdasarkan pendapat-pendapat yang terdapat di dalam isu ini, kami katakan bahawa isu ini ada fleksibilitinya yang tersendiri iaitu puasa 6 boleh dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan. Diawalkan ataupun dilewatkan selagi mana masih berada di dalam bulan Syawal. Ianya tidak menjadi masalah.

Leave a comment