Dato’ Sudirman bin Haji Arshad (25 Mei 1954 – 22 Februari 1992) merupakan salah seorang penyanyi yang terkenal di Malaysia. Beliau telah memulakan kariernya sebagai seorang penyanyi apabila dinobatkan sebagai “Juara Bintang RTM1976” pada 11 Ogos 1976.

Selain itu, beliau juga adalah satu-satunya pemegang gelaran “Penghibur Nombor 1 Asia” (pada 19 Mac 1989) dari Pahang. Di samping itu, terdapat juga gelaran yang lain untuk beliau seperti “Penghibur Milik Masyarakat”, “Seniman Rakyat” dan “Elvis Malaysia”.
Beliau juga mempunyai pelbagai kebolehan sebagai seorang penyanyi, penghibur, penggubah lagu, peguam, penulis, pengarang (buku memoir dan kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan dan pelakon.
(Allahyarham Sudirman ketika memperkenalkan produk minuman SUDI. Slogan yang digunakan untuk mempromosikan minuman ini adalah “Sudi-sudikanlah)
Allahyarham Dato’ Sudirman Hj. Arshad pernah menubuhkan Sudirman Usaha Dagang Industri (SUDI) Sdn Bhd dengan berbekalkan modal RM 3 juta, yang mengeluarkan minuman tin berkarbornat jenama SUDI. Minuman tin SUDI ini dipasarkan dalam empat jenis perisa iaitu Oren, Kola, Lemonade dan Isotonik.

Harganya lebih kurang sama dengan harga minuman berkarbonat tin yang lain. Semasa pertama kali dilancarkan, minuman SUDI mendapat sambutan yang cukup menghangatkan sehingga ia begitu cepat habis dijual di kedai-kedai runcit. Selain itu, ada juga orang-orang yang membuka tin ini sambil menyanyikan lagu Sudirman.
Sebagai menghargai jasa peminatnya yang memberi sokongan dengan membeli minuman SUDI, Sudirman telah mengadakan konsert percuma beliau di Tapak Ekspo Ayer Keroh, Melaka pada 9 Mac 1991. Perbelanjaan konsert ditaja sepenuhnya oleh syarikat SUDI Sdn Bhd.
Kejayaannya dalam memasarkan SUDI telah mengangkat Sudirman sebagai pemenang Anugerah Pengusaha Muda. Malangnya setelah Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad jatuh sakit, perniagaannya- Sudirman Productions dan SUDI Sdn Bhd telah ditutup pada September 1991.