Satu cerita sejarah Pulau Langkawi yang termasyhur ialah cerita “Beras Terbakar”. Padang beras terbakar ini terletak dihalaman rumah Ku Halim bin Ku Hassan di Kampung Raja, Mukim Padang Matsirat, 17 km dari pekan Kuah.
Kawasan ini kini terletak di dalam kawasan tanah milik perseorangan. Luas kawasan tempat beras terbakar ini ialah kira-kira tiga puluh kaki persegi. Yang didapati tertanam dalam tanah lebih tiga kaki. Apabila hujan lebat, beras itu akan timbul.
Mengikut sejarah, selepas beberapa bulan pembunuhan Mahsuri dengan perintah Datuk Seri Kerma Jaya, pulau ini telah diserang dengan hebatnya oleh orang-orang Siam. Pertempuran yang dahsyat telah berlaku hingga mengorbankan Datuk Seri Kerma Jaya dan panglima-panglimanya yang gagah itu.
Sebelum pertempuran itu berlaku dan melihat kepada situasi yang tidak memihak kepada Pulau Langkawi, Datuk Kerma Wijaya telah menghantar utusan ke Padang Mat Sirat bagi mengarahkan penduduk Langkawi supaya mengumpul padi hasil menuai mereka di suatu tempat untuk dimusnahkan atau dibakar.
Penduduk kampung telah mengorek sebuah lubang besar dan padi yang dikumpulkan lalu dimasukkan ke dalam lubang ini untuk dibakar. Perkara ini terpaksa dilakukan bagi mengelakkan padi itu dirampas oleh pihak Siam yang mana akan menjadi bekalan utama mereka apabila bertapak di Pulau Langkawi.
Sampai sekarang beras terbakar ini digunakan oleh sesetengah orang sebagai penawar untuk demam panas, kepialu, dan sebagai ubat sakit perut.
Kekalahan Datuk Kerma Jaya untuk mempertahankan Pulau Langkawi mengikut kepercayaan orang-orang pada masa itu dan sampai sekarang adalah kerana sumpahan Mahsuri yang berbunyi ;
“Ya Allah, Ya Tuhan, Aku redha matiku jika benar aku bersalah tetapi jika aku dianiaya, aku haramkan darahku mengalir ke bumi ini. Aku bersumpah bumi Langkawi tidak akan aman dan menjadi padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan!.
