Rusuhan Nadrah

Sebelum tercetusnya Rusuhan Nadrah di Singapura pada tahun 1950, terlebih dahulu pada 15 Februari 1915, tercetus pemberontakan kecil di Singapura. Berikutan daripada fatwa Jihad Akbar pada 15 November 1914 oleh Shaikh Al-Islam Urguplu Mustafa Hairi Effendi dari Daulah Uthmaniah (Turki) terhadap penjajah British dan sekutu-sekutunya, lalu Maulana Nur Alam Shah, Imam Masjid Hajjah Fatimah pada ketika itu bangkit memberontak bersama para askar Sepoy dari 5th Light Infantry di Tanglin Barracks.

Walaupun peristiwa itu tidak menimbulkan kesan besar di Singapura, tetapi ia turut mempengaruhi pemberontakan Haji Mat Hassan bin Munas atau Tok Janggut di Pasir Puteh (Kelantan) pada tahun 1915.

Walau bagaimanapun, antara gerakan anti-British yang paling dramatik lagi tragik dalam sejarah Tanah Melayu ialah Rusuhan Nadrah di Singapura yang tercetus pada 11 Disember 1950. Bahkan inilah satu-satunya episod yang membawa kesan paling abadi, lantaran implikasinya dari segi politik dan perundangan yang terus-menerus menjadi bahan kajian dan rujukan.

Nadrah atau nama sebenarnya Maria Huberdina Hertogh dilahirkan di Cimahi (Bandung) pada 24 Mac 1937. Bapanya Adrianus Petrus Hertogh, seorang askar Belanda yang ditugaskan ke Indonesia sejak tahun 1924. Sedangkan ibunya, Adeline Hunter seorang Serani (kacukan Scots-Jawa) yang berkahwin ketika berumur 15 tahun dengan Hertogh pada tahun 1933 di Bandung.

Sebenarnya, Adeline sendiri mempunyai seorang ibu yang juga seorang Serani (kacukan Belanda-Jawa) iaitu Louise Winterberg yang berkahwin dengan seorang keturunan Scots, Joseph Hunter. Daripada perkahwinan inilah lahir Adeline dan abangnya yang kemudian memeluk ugama Islam dengan nama Soewaldi.

Louise kemudiannya berpisah dengan suaminya ketika Adeline berusia 5 tahun, lalu bernikah dengan seorang pelakon bangsawan Islam, Raden Ismail hingga beliau turut memeluk ugama Islam dengan nama Nor Louise.

Dengan perkahwinan ibunya dengan Raden Ismail, maka Adeline dan abangnya turut dipelihara dalam keluarga Islam. Bahkan Adeline sendiri telah memeluk ugama Islam ketika berusia 5 tahun, hinggalah beliau berkahwin dengan Hertogh dan terus menukar ugamanya kepada Roman Catholic mengikut suaminya. Sehingga tahun 1942, mereka mempunyai 6 orang anak. Maria yang lahir pada tahun 1937 adalah anak ke-3 mereka.

Ketika Adeline sedang hamil anak ke-6, Jepun menawan Indonesia. Maka ramailah askar Belanda yang menjadi tawanan Jepun termasuklah Hertogh. Dalam suasana serba tertekan, Adeline dan anak-anaknya berlindung di rumah ibunya di Bandung. Bahkan di situlah beliau bertemu dengan kenalan ibunya, Che’ Aminah binti Mohammad.

Nor Louise dan Adeline sekeluarga kemudiannya mendapat perlindungan daripada Che’ Aminah sepanjang penjajahan Jepun di Indonesia.

Che’ Aminah sebenarnya berasal daripada keluarga bangsawan dari Kemaman (Terengganu). Pada awalnya beliau bernikah dengan Abdul Ghani atau Rani dari Perak. Apabila suaminya meninggal dunia, beliau bernikah pula dengan seorang saudagar barang kemas dari Bandung, Ma’arof. Di Bandung inilah, beliau berkawan dengan Nor Louise.

Pada tahun 1942, Adeline telah menyerahkan anaknya Maria yang berusia 5 tahun kepada Che’ Aminah sebagai anak angkatnya. Penyerahan ini disaksikan sendiri oleh abang Adeline, Soelwadi.

Maria kemudiannya ditukar namanya kepada Nadrah dan disekolahkan di Bandung apabila usianya 7 tahun. Oleh sebab bimbang keselamatan keluarganya yang memelihara Nadrah, maka Che’ Aminah meninggalkan Bandung dan kembali ke Kemaman pada tahun 1947.

Pada April 1950, Che’ Aminah telah dipengaruhi oleh seorang pegawai British iaitu Arthur Locke agar membawa Nadrah ke Singapura, kononnya untuk menyelesaikan masalah pengesahan Nadrah sebagai anak angkat. Tetapi, sebaliknya.

Setibanya di Singapura 20 hari kemudian, Che’ Aminah menerima surat arahan daripada John Alexander Strachey Bucknill (Chief Justice, Supreme Court Of Singapore) yang bertarikh 22 April 1950 agar meletakkan Nadrah buat sementara waktu di bawah Social Welfare Department Of Singapore berdasarkan surat arahan daripada Dutch Consul-General. Setelah Che’ Aminah menyerahkan Nadrah; lalu Nadrah ditempatkan di Girls Homecraft Centre di York Hill pada 24 April 1950.

Dalam perbicaraan pertama pada 19 Mei 1950, melalui bantuan M A Majid (Presiden, Muslim Welfare Association Of Singapore), Che’ Aminah diwakili oleh peguamnya Tan Sri Dato’ Profesor Emeritus Dr Ahmad bin Ibrahim, namun beliau terpaksa menerima keputusan Chief Justice agar menyerahkan Nadrah kepada ibu-bapanya.

Bagaimanapun, dalam rayuan Che’ Aminah pada 28 Julai 1950, pihak mahkamah mendapati berlakunya kesalahan teknikal di pihak penyamannya. Lalu Chief Justice mengenepikan keputusan sebelumnya kerana arahan Dutch Consul-General itu bercanggah dengan Guardianship Of Infants Ordinance yang tidak diberikan kepada Nadrah, padahal Nadrah adalah orang yang terlibat secara langsung. Sebaliknya Dutch Consul-General hanya bertindak atas kedudukannya sebagai Consulate, tanpa diberi kuasa untuk bertindak bagi pihak ibu-bapa Nadrah. Oleh hal yang demikian, Nadrah diserahkan semula kepada Che’ Aminah.

Tetapi selepas 4 hari Nadrah dibebaskan, terjadilah ‘pernikahan gantungnya’ dengan Mansoor bin Adabi, seorang guru dari Kelantan yang pada ketika itu mengajar di Bukit Panjang Government School di Singapura. Ketika itu Mansoor berusia 21 tahun sedangkan Nadrah berusia 13 tahun. Mereka dinikahkan oleh Kadhi bagi kawasan Telok Blangah, Kiyai Ahmad bin Abdul Halim bin Karto di rumah M A Majid di Rangoon Road.

Sebaliknya pernikahan ini memberi peluang baru bagi pihak ibu-bapa Nadrah untuk menyaman semula Che’ Aminah di bawah Guardianship Of Infants Ordinance. Dalam tuntutan itu, Nadrah dibela sekali lagi oleh Dr Ahmad; Che’ Aminah oleh peguam Sardon bin Jubir dan Mansoor oleh peguam John Eber.

Dalam keputusan hakim Justin Brown pada 2 Disember 1950, ditegaskan bahawa pernikahan itu bukan sahaja tidak sah, bahkan Nadrah harus diserahkan semula kepada ibu-bapanya di Belanda. Bagaimanapun, pihak mahkamah membenarkan rayuan dibuat dan akan didengar lagi pada 11 Disember 1950.

Dengan keputusan itu, timbullah kemarahan masyarakat Islam melalui akhbar-akhbar nasional. Memang sejak awal lagi isu Nadrah telah dieskploitasi sebagai berita sensasi oleh akhbar-akhbar di Belanda, British dan Singapura; dengan mengecam serta memburuk-burukkan Che’ Aminah dan Mansoor. Sebagai tindak balas, timbullah serangan daripada akhbar-akhbar Melayu dan Inggeris yang terbit di Singapura, khususnya daripada akhbar Melayu Raya dan Dawn yang berhaluan kiri.

Sebenarnya, sensiviti masyarakat Islam di Singapura pada ketika itu masih dapat dikawal, jika tidak kerana tindakan membawa Nadrah tinggal di Roman Catholic Convent Of The Good Shepherd di Thomson Road, disamping penyiaran berita “Bertha Knelt Before Virgin Mary Statue” di akhbar Singapore Tiger Standard. Akibatnya, meletuslah rusuhan yang dipimpin oleh tokoh-tokoh masyarakat Islam tempatan seperti Abdul Karim bin Abdul Ghani (Presiden, Persatuan Seruan Islam @ JAMIYAH), Dr Burhanudin bin Muhammad Noor (Dr Burhanudin Al-Helmi), Mohamed Taha bin Kalu (Naib Presiden, Singapore Malay Nasionalist Party), Darus bin Sherrif (Setiausaha, Malay Welfare Association Of Singapore) dan Syed Ali bin Mansor Al-Attas pada 11 Disember 1950.

Rusuhan itu telah membawa kepada 18 orang terkorban, 173 orang cedera serta hampir 200 buah kenderaan terbakar dan rosak. Sehari selepas rusuhan itu, Nadrah segera diterbangkan ke Belanda bersama ibunya.

Pada 18 Disember 1950, 200 orang awam termasuk tokoh-tokoh utama Rusuhan Nadrah itu ditahan.

Abdul Karim, Dr Burhanudin, Mohamed Taha, Darus dan Syed Ali dibicarakan atas tuduhan niat membunuh dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Turut diberi hukuman yang sama ialah Mohamed Yusoff, Mohamed Mustaza dan A K S Othman bin Abdul Ghani.

Demikian juga akhbar Melayu Raya dan Dawn telah diharamkan penerbitannya.

Walau bagaimanapun, 8 orang yang tertuduh yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati itu diringankan hukuman mereka atas bantuan wakil United Malay National Organisation (UMNO) cawangan Singapura, Syed Haroon bin Ali Alhabshi yang meminta agar Tunku Abdul Rahman bin Sultan Abdul Hamid Halim Shah merayu kepada pemerintah penjajah British di Singapura pada 25 Ogos 1951 untuk meringankan hukuman ke atas mereka. Mereka sebaliknya diletakkan di bawah tahanan Internal Security Act (ISA) di Pulau Sekijang Bendera selama setahun sebelum dibebaskan.

Sungguhpun tragedi Nadrah sudah berakhir, namun drama kehidupannya terus berlanjutan.

Di Belanda, walaupun Nadrah dapat bersatu semula dengan keluarganya di Bergen Op Zoom, kemudian berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkefeld pada usia 18 tahun, namun kehidupannya sentiasa terumbang-ambing.

Selepas bercerai pada tahun 1979, Nadrah berkahwin pula dengan Tom Ballermus tetapi bercerai pada tahun 1984.

Sejak itu, Nadrah hidup bersama 13 orang anaknya di Huijbergen (Belanda) sehinggalah beliau meninggal dunia pada 8 Julai 2009 dalam usia 77 tahun akibat penyakit Leukaemia.

Berikut adalah kata-kata Nadrah yang dirakam sepanjang pergolakan kes beliau:-

“I will not go to any country outside Malaya. It is no use Mr Hertogh trying to separate me from my husband. I am a Muslim, I have made my choice and I will stay with my husband now until we die.”

“If my parents love me, they should leave me where I am. Besides I cannot love you, because when I was a child you gave me away.”

“Don’t ever call me Maria. I have done with the Hertogh family and my real Muslim name is Nadra.”

Leave a comment